Friday, March 27, 2020


Kepentingan kemahiran untuk graduan masa depan, bukan sahaja dalam melahirkan bakal graduan yang mampu berdepan dalam pelbagai perkara, antaranya persaingan mencari pekerjaan dan sebagainya, tetapi juga dalam konteks yang lebih besar, iaitu melahirkan modal insan yang diperlukan negara. Secara amnya, bakal graduan perlu menitik beratkan beberapa kemahiran yang perlu dikuasai ketika berada di kampus, agar dapat berdepan dengan cabaran dalam mencari pekerjaan, seterusnya mampu melahirkan modal insan kepada negara. Terdapat beberapa kemahiran yang akan dinilai oleh majikan-majikan yang ingin mengambil para bakal graduan menjadi pekerja.

Kemahiran-kemahiran yang perlu di kuasai oleh graduan

Kemahiran Berkomunikasi
Kemahiran yang paling utama yang perlu dikuasai oleh bakal graduan ialah Kemahiran Berkomunikasi. Kemahiran ini merupakan kemahiran paling asas yang perlu diutamakan kerana majikan akan meneliti dan menguji graduan samaada kemahiran berkomunikasi mereka adalah benar-benar pada tahap yang diingini. Memandangkan pada masa ini Malaysia merupakan salah sebuah negara dunia ketiga yang pesat membangun, maka tidak hairanlah mengapa Malaysia pada masa ini dibanjiri oleh pelabur-pelabur asing yang ingin menjalankan perniagaan yang sesuai dengan iklim ekonomi negara. Secara tidak langsung, situasi ini akan memerlukan tenaga kerja mahir yang pastinya boleh berkomunikasi dengan baik, terutamanya dalam bahasa inggeris. Bukan sahaja hanya mampu bertutur dengan fasih, tetapi juga menguasai secara lisan. Ini kerana, penguasaan terhadap bahasa inggeris seperti berkomunikasi dengan baik, akan membolehkan bakal graduan menghasilkan idea yang kritis dan kreatif untuk membantu menarik minat pelabur agar mengikat perjanjian perniagaan. Selain itu, kehendak pelanggan dalam urusan perniagaan juga dapat difahami dengan jelas dan baik. Apabila penguasaan kemahiran berkomunikasi ini dapat dikuasai, maka daya keyakinan akan menjadi lebih tinggi. Malah, bakal graduan juga akan berpeluang besar dalam mendapatkan sesuatu kerjaya kerana mempunyai idea yang bernas selain mempunyai pengetahuan teknikal yang mantap.

Kemahiran Berpasukan
Kemahiran yang perlu ada dan dikuasai oleh para graduan dan yang diingini majikan juga ialah Kemahiran Kerja Berpasukan. Persaingan yang berlaku dalam dunia pasaran pekerjaan di antara para bakal graduan yang telah menamatkan pelajaran saban tahun menyebabkan ramai graduan yang sukar mendapatkan pekerjaan. Seharusnya para bakal graduan perlu menggunakan situasi tersebut dengan cuba untuk mengumpul seberapa banyak kemahiran yang perlu digunakan selepas habis belajar kelak. Kemahiran kerja berpasukan adalah berbeza daripada kerja individu. Kerja berpasukan menuntut seseorang itu bekerja dengan lebih ramai orang tetapi dalam satu kumpulan. Komitmen yang tinggi sangat dituntut dalam kerja berpasukan. Seseorang itu perlu menunjukkan dia adalah seorang pemain di dalam pasukan tersebut, selain mampu dan berkeupayaan untuk menguruskan dan menjadi wakil dalam tanggungjawab yang diberikan. Selain itu, bekerja di dalam satu pasukan juga menuntut agar sesorang itu mampu serta dapat membina hubungan yang positif dengan rakan sekerja, sekaligus dapat membantu mencapai matlamat kerja dan objektif perniagaan yang dijalankan, malah mampu meningkatkan kualiti kerja.Tambahan pula, masalah-masalah di dalam proses seuatu pekerjaan adalah bersifat komplek serta akan membabitkan pelbagai bahagian dan sistem. Maka secara logiknya, penyelesaian masalah hal sedemikian adalah di luar batas kemampuan individu. Oleh itu, penting kepada graduan agar dapat menguasai kemahiran bekerja secara berpasukan agar mereka dapat menjalankan kerja sekiranya diminta menguruskan sesuatu urusan secara berkumpulan. Pendedahan yang diberikan atau yang ditimba ketika menjalankan sesi praktikal perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para bakal graduan, kerana ketika sesi praktikal inilah mereka akan didedahkan dengan pengalaman kerja berkumpulan serta membina hubungan dengan orang lain, iaitu rakan sekerja.

Kemahiran Penyelesaian Masalah
Selain itu, penguasaan dalam Kemahiran Penyelesaian Masalah juga penting kepada bakal graduan dalam mencari kerja. Kemahiran ini adalah di antara kriteria yang paling penting dan utama kepada majikan dalam mencari pekerja. Maka, perlu bagi bakal graduan untuk cuba memajukan diri dengan mempersiapkan diri mereka di dalam menguasai kemahiran ini. Dalam apa jua bidang yang diceburi, semuanya tidak akan pernah terlepas daripada menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul di dalam kerja. Bakal graduan seharusnya lebih bersedia dari pelbagai aspek, seperti dari aspek mental kerana penyelesaian masalah merupakan proses mental dalam mengatasi halangan ketika melakukan sesuatu tugasan. Walaupun boleh mendatangkan cabaran, namun kejayaan dalam menyelesaikan masalah itu akan menimbulkan keseronokan. Malah, dari satu sudut pula, kemahiran penyelesaian masalah ini perlu dikuasai kerana ini merupakan satu kelebihan kerana dapat menyelesaikan sesuatu permaslahan dari pelbagai aspek. Maka, bakal graduan perlu mengambil peluang yang ada ketika menjalani praktikal untuk sama-sama terlibat dalam situasi yang memerlukan penyelesaian masalah dengan memberi sumbangan idea yang bernas bagi menyelesaikan masalah. Kemahiran ini juga adalah di antara kriteria-kriteria penting yang perlu ada pada bakal graduan di dalam proses mencari kerja kelak.

Kemahiran Kepimpinan
Selain itu, Kemahiran Kepimpinan juga perlu dikuasai oleh bakal graduan. Kejayaan sesebuah perniagaan atau jatuh bangunnya sesuatu itu adalah berdasarkan kepada kepimpinan. Kriteria ini juga sangat penting untuk dikuasai oleh bakal graduan, sebagai salah satu daripada antara beberapa kemahiran-kemahiran yang penting untuk dikuasai. Walaupun bakal graduan tidak akan memegang jawatan tertinggi terus ketika menceburkan diri di dalam bidang pekerjaan, namun mereka perlu menunjukkan potensi sebagai seorang pemimpin, yang mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan, seterusnya melaksanakan tugas tersebut kerana ciri-ciri kepimpinan juga akan dinilai oleh majikan. Mereka juga perlu mampu menunjukkan potensi dalam memotivasikan serta memberi dorongan kepada rakan sekerja yang akan bekerja bersama mereka kelak. Apa yang paling penting di dalam sikap kepimpinan ini ialah, bakal graduan perlu tahu tentang tugasan yang diterima seterusnya melaksanakan tugasan yang diberi dengan baik, menentukan tarikh akhir tugasan serta menunjukkan kepimpinan dengan memberikan contoh-contoh yang baik kepada orang lain atau rakan setugas yang lain. Kemahiran Kepimpinan sebenarnya telah dipupuk ketika menuntut di universiti di kalangan para bakal graduan, samaada secara langsung mahupun tidak langsung.

 shukrizaizuldin@yahoo.com. shukrizaizuldin@yahoo.com.
Kemahiran Pengurusan
Seterusnya, bakal graduan perlu memiliki Kemahiran Pengurusan. Melalui kemahiran ini, majikan akan menilai samaada graduan itu mampu menguruskan sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya. Malah, majikan juga akan mempastikan juga samaada graduan itu mampu melakukan kerja secara efisien dan produktif, untuk menjamin kualiti kerja yang baik serta pada tahap yang diingini. Dalam kemahiran pengurusan ini, perkara yang sangat penting juga ialah pengurusan masa. Kemampuan mengurus yang baik terutamanya di dalam memutuskan untuk melakukan kerja yang perlu diberi keutamaan dan fokus serta perlu diselesaikan mengikut masa juga akan diambil kira oleh majikan. Kemahiran pengurusan yang baik adalah bonus buat sesuatu organisasi kerana bukan sahaja mempunyai pekerja yang cekap dan efisien dalam melakukan tugasan yang diberi, tetapi juga sebagai jaminan kepada penghasilan kerja yang berkualiti, malah mampu memuaskan hati pelanggan.

Cadangan kepada bakal graduan
Cadangan yang pertama ialah kepada bakal graduan itu sendiri, iaitu dengan memastikan agar mereka perlu lebih aktif dan rajin dalam menyertai pelbagai aktiviti atau program yang dapat membantu mereka dalam menguasai kemahiran berkomunikasi, terutamanya di dalam bahasa inggeris. Secara amnya, penguasaan kemahiran berkomunikasi merupakan kriteria utama yang akan dinilai dan diperlukan oleh majikan terhadap graduan yang mencari pekerjaan. Melalui kenyataan tersebut maka bakal graduan perlu lebih komited dalam penguasaan bahasa inggeris. Penguasaan kemahiran berkomunikasi ini, terutamanya penguasaan dalam bahasa inggeris juga membolehkan bakal graduan dapat mempertingkatkan lagi tahap keyakinan berkomunikasi mereka dengan orang luar, iaitu pelabur-pelabur atau peniaga-peniaga dari negara luar. Malahan, dengan keyakinan yang tinggi apabila dapat menguasai kemahiran berkomunikasi, terutamanya dari aspek lisan, maka mereka akan dapat menyalurkan pelbagai idea yang kritis dan kreatif disebabkan kemampuan mereka berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa inggeris. Oleh itu, para bakal graduan perlu berusaha dengan mengambil peluang yang sedia ada sekiranya mereka ingin menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik lagi disamping perlu lebih komited dengan memilih inisiatif sendiri untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi karenah majikan yang menginginkan penguasaan komunikasi dalam bahasa inggeris pada tahap yang tinggi atau standard.
Cadangan yang kedua pula ialah, bakal graduan perlu atau wajib menyertai aktiviti-aktiviti persatuan samaada di dalam, mahupun di luar kampus, dengan pihak universiti perlu memantau atau menghadkan penglibatan bakal graduan sekiranya terlibat dengan persatuan luar kampus. Penglibatan di dalam aktiviti persatuan ini kepada bakal graduan ialah, melaluinya, bakal graduan akan dapat meningkatkan keyakinan ketika berdepan dengan orang ramai, selain mengasah kemahiran berkomunikasi mereka dengan komuniti yang ada di dalam persatuan yang disertai. Dari aspek individual pula, penglibatan ini akan membantu bakal graduan memupuk semangat dalam kerja berpasukan. Malah, ianya merupakan pendedahan kepada bakal graduan sebelum memasuki alam kerjaya yang sebenar dalam perkongsian idea dan mengemukakan idea yang kritis untuk sesuatu maklumat sekiranya ingin menyelesaikan masalah. Dari itu, bakal graduan juga dapat menggunakan kesempatan tersebut untuk membiasakan diri dengan perkongsian idea dengan komuniti yang terlibat di dalam persatuan tersebut. Selain itu, bakal graduan juga dapat memupuk diri dengan sifat kepimpinan dalam diri mereka dengan menjadi pemimpin kepada rakan yang lain. Ini kerana, kemahiran-kemahiran tersebut, seperti kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran kepimpinan merupakan aspek dan kriteria yang dicari oleh majikan. Penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti persatuan juga merupakan satu batu loncatan buat bakal graduan dalam mempuku seterusnya membiasakan dri mereka dengan kemahiran pengurusan organisasi. Ianya umpama suatu pendedahan kepada bakal graduan dalam salah seorang daripada pekerja yang bakal menguruskan sesuatu organisasi.









No comments:

Post a Comment